10 Oct 2011

Latar belakang Program Sekolah Lestari


1.0   PENGENALAN

Jabatan Alam Sekitar telah membuat ketetapan untuk menjadikan program Sekolah Lestari sebagai program flagship dalam melaksanakan Program Rakan Alam Sekitar di peringkat sekolah mulai tahun 2011 di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh. Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan terpilih untuk menyertai program ini di peringkat Kuala Kangsar.
Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom pernah meraih Naib Johan Pertandingan 3K di peringkat Kebangsaan pada tahun 2001. Pada tahun 2011, SMK Raja Perempuan Kelsom akan mengorak langkah untuk menjayakan program Sekolah Lestari.  Program Sekolah Lestari menekankan aspek pendidikan dan kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang memerlukan pengetahuan, kefahaman, perubahan sikap dan penyertaan masyarakat. Perkara ini perlu dipupuk seawal mungkin kerana program ini akan menjadi faktor penentu ke arah amalan cara hidup yang mesra alam pada masa akan datang. Satu cara yang berkesan untuk memupuk kesedaran tentang alam sekitar adalah melalui institusi pendidikan terutamanya sekolah.

2.0   KONSEP SEKOLAH LESTARI

2.1  Sekolah Lestari- Anugerah Alam Sekitar berkonsepkan pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua lapisan warga sekolah bersama keluarga, komuniti setempat, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Konsep ini juga menitikberatkan pendekatan bersepadu dalam pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan di sekolah.
2.2  Sekolah Lestari –Aungerah Alam Sekitar merupakan pusat pembelajaran dan pengajaran yang dapat mempengaruhi warga sekolah dan masyarakat ke arah kehidupan yang lestari.
2.3  Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar bertujuan untuk membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dalam aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan kawasan sekolah. Melalui program ini, elemen pendidikan alam sekitar dapat diterapkan pada kalangan guru dan pelajar secara langsung dan komuniti setempat secara tidak langsung dengan mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni alam sekitar dalam kurikulum dan kokurikulum.
2.4  Penglibatan warga sekolah dalam aktiviti Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar memberi peluang kepada mereka untuk mengamal, menghayati dan membudayakan ciri-ciri mesra alam di persekitaran sekolah, rumah, komuniti setempat, masyarakat dan akhirnya di peringkat negara.

3.0 MATLAMAT

Membudayakan pendidikan alam sekitar dengan menerapkan nilai murni alam sekitar dalam aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan secara berterusan di SMK Raja Perempuan Kelsom untuk mencapai tahap Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar pada tahun 2012. SMK Raja Perempuan Kelsom memilih motto Lindungi Ekosistem Sezaman, Terjaga Alam Refleksi Iman (LESTARI)

4.0  OBJEKTIF

Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar dibentuk bagi mencapai objektif berikut:
(i)      memupuk nilai murni alam sekitar pada kalangan warga sekolah,
(ii)     meningkatkan tahap kesedaran warga sekolah mengenai kepentingan  pemeliharaan dan pemuliharaan                            alam sekitar,
(iii)     menggalakkan warga sekolah melaksanakan aktiviti mesra alam dengan  berkesan,
(iv)   meningkatkan kerjasama antara sekolah dengan masyarakat dalam menjayakan pendidikan alam sekitar,
(v)   mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi melahirkan warga sekolah yang mempraktikkan amalan hidup lestari.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.